2 Hari 2 Bandar

MENDADAK

Keputusan untuk ke Birmingham ditentukan dengan sangat mendadak. Entah apa yang aku mahu. Pengalaman atau escapism, aku tak pasti.

Aku disambut dengan stesen kereta api yang maha besar di Birmingham New Street yang 10 kali ganda saiznya daripada Cardiff Central.

Birmingham bandar yang sibuk. Bandar kedua terbesar setelah London ini penuh dengan kehidupan, seperti lagaknya Kuala Lumpur. Hanya di tempat yang suhunya mampu mencecah negatif ini, lebih banyak manusia berbudi bahasa – tipikal rakyat Britain.

Satu-satunya tempat yang aku suka di bandar ini ialah Birmingham Canal. Mungkin kerana wujudnya laluan air yang pada aku memberi nilai tambah yang sangat ampuh, atau mungkin kerana aku membesar dengan sungai dan laut di kampung halamanku. Mungkin juga kerana aku tidak suka dengan bandar-bandar besar yang sibuk seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu. Sesak dan menyesakkan, tetapi itulah emas, itulah lumpur.

Sepanjang perjalanan mataku disapa dengan pemandangan bangunan-bangunan yang kemerahan.

“Lihatlah orang British begitu bangga dengan teknologi red bricks mereka.”

“Kau mahu bandingkan dengan Malaysia? Tak usah.”

“Kenapa?”

“Kita dijajah 400 tahun. Ketika Britain begitu maju kita masih lagi dikaut keuntungan oleh ‘penasihat-penasihat’ British yang mendakwa mereka tidak pernah menjajah kita.”

Christmas Market sudah mula dibuka bermula tengahari – serupa dengan Cardiff, walhal masih ada sebulan sebelum Hari Natal tiba. Tidak jauh beza dengan orang Islam di Malaysia yang sudah mula membunyikan mercun meski bulan Ramadhan belumpun bermula. Gerai-gerai menjual pelbagai makanan (yang bukan aku boleh makan pun sebab tak sembelih), minyak wangi, perhiasan pokok Krismas dan sebagainya, usaha para peniaga dalam mencari sesuap kentang (kerana nasi bukan makanan ruji mereka).

Manusia menyesak, ditambah lagi dengan kehadiran ice rink dan Ferris Wheel di Birmingham Centenary Square. Petangnya aku bergegas ke Birmingham Coach Station untuk mengejar bas ke Sheffield.

KAMERA TERPAKAI

Suhu di Sheffield tidak sedahsyat Birmingham dan aku mula mampu mengadaptasi diri dalam cuaca ganas ini. Malam itu aku dibawa masuk ke Arts Tower milik University of Sheffield, tempat pelajar seni bina belajar.

Aku terkagum, studio korang cantik lah gila. Bangunan aku tiga tingkat, dengan hanya satu tingkat diperuntukkan pada pelajar seni bina. Sempit dan aku rasa orang claustrophobic boleh mati bila melangkah masuk studio kami.

Malam itu dihabiskan dengan bersembang dengan rakan-rakan dari Kolej MARA Banting. Lewat malam, kawanku meneroka kamera terpakai yang baru saja aku beli.

“Aku rasa bersalah bila fikir gunakan duit rakyat untuk beli benda-benda macam ni. Aku dah ada DSLR, tapi.”

“Kita pelajar seni bina, ini bukan bermewah tapi keperluan.”

“Keperluan ke?”

Diam.

Ya, keperluan. Seni bina ialah sebuah kursus yang menuntut belanja yang tinggi. Aku masih tidak pasti adakah itu alasan untuk membenarkan tindakan aku membeli sebuah kamera terpakai atau tidak.

Masing-masing dari kami mengerti tanggungjawab yang kami pikul di pundak. Setengah juta duit rakyat dilaburkan pada setiap seorang daripada kami yang diharap bakal menggalas bebanan memimpin hala tuju negara pada masa hadapan.

Membelanjakan wang bukan dari titik peluh sendiri memang mudah, seperti mudahnya aku meminta hadiah hasil pencapaianku dalam peperiksaan sewaktu sekolah rendah. Bezanya kini aku sudah mula pandai berfikir membezakan baik dan buruknya sesuatu perkara, dan aku pasti hampir semua daripada kita sudah tahu menimbang tara kesudahan tindakan yang kita ambil pada hari ini.

BIDADARI BESI

Aku tidak ke berjalan banyak di Sheffield, kecuali ke sekitar University of Sheffield, Weston Park untuk memberi makan burung-burung, itik, dan angsa yang rakus, dan juga Sheffield City Centre. Tidak banyak yang boleh aku ceritakan.

Cuma – satu halnya yang aku belajar, kita tidak berseorangan dalam hidup.

Biar dunia terbalik, biar aku gila, sentiasa akan ada manusia di sisi.

Yang mengerti dan memahami bebanan yang sama atau serupa, yang sanggup mendengar apa jua rintihan hati. Berkongsi kisah gembira dan duka, menolak tepi segala prejudis dan prasangka.

Tuhan menghantar bidadari-bidadari besi untukku dan menghantarku untuk mereka.

“Khai, apa-apa Facetime sahaja. Kita ada.”
“OK.”

Kau tak tahu hati aku bergenang air mata.

Kerana ini aku bencikan pertemuan. Kerana ianya membibitkan perpisahan.

Jumpa lagi teman.

Selalu disisiku.

Balik, kereta api yang sepatutnya aku naiki tergendala setengah jam mengakibatkan aku terlepas kereta api seterusnya yang sepatutnya aku naiki semasa pertukaran kereta api. Hasilnya aku terpaksa menukar tiga kali kereta api ke Bristol dan kembali ke Cardiff Central.

Nasib.

GRASS IS ALWAYS GREENER ON THE OTHER SIDE

Seperti aku sedar bahawa aku cintakan Malaysia lebih daripada UK, begitu juga aku mula menyayangi Cardiff yang berangin sepanjang masa dan dipenuhi dengan burung-burung camar yang bising serta gemar berak merata-rata berbanding bandar-bandar lain.

Kerana ada perkara yang boleh disyukuri.

Sentiasa.

Advertisements

Perempuan Berambut Perang dan Lelaki di Bawah Terowong

Hari ini aku turun ke bandar untuk membeli pita pengukur di kedai hardware. Dalam sebuah terowong seorang lelaki berselimut sedang berteduh di bawahnya.

Dalam dingin musim luruh itu aku teruskan perjalanan.

Selesai urusan, aku bergegas ke Quiet Room di pusat beli-belah St Davids di bawah renyai hujan.

Berwuduk.

Masuk seorang perempuan berambut perang. Pekerja pusat beli-belah mungkin, kerana tag yang dipakainya.

Aku mengenakan pin pada tudung, siap untuk menunaikan Asar.

Dia duduk di kerusi WuduMate. Membasahkan wajah.

Kemudian lengan, kepala dan kaki.

Takbir.

Dia datang di sebelahku.

Rukuk.

Oh, dia mengenakan tudung di kepala.

Sujud.

Ah, dia mula mengangkat kedua-dua belah tangan.

Selesai solat aku menyarung jaket. Masih berfikir-fikir.

Resah.

Pemegang pintu itu kutarik, seraya aku berpaling.

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumussalam.”

Senyuman bertukar.

Aku kagum atas usaha wanita ini menyimpan jubah dan tudung di dalam begnya demi meluangkan masa bertemu Tuhan dalam harinya yang sibuk.

Cukup-cukuplah bagi aku untuk menghakimi orang lain.

Kerana siapa tahu kesulitan hidupnya.

Cabaran untuknya untuk menjaga agama, diri dan maruahnya.

Baik dirinya di negara orang putih ini.

Baik orang-orang di Malaysia.

Mungkin juga aku tak patut teruja kerana perang rambutnya dan hakikat dia perempuan Eropah, kerana sejujurnya aku bersikap tak endah bila bertemu saudara seagama yang turut mengenakan tudung kepala.

Mungkin aku patut bagi salam pada Muslim yang aku jumpa lepas ni.

Dalam perjalanan pulang, aku ke Costa membeli secawan minuman coklat panas untuk lelaki di bawah terowong.

Dan seperti peristiwa dengan perempuan blonde tadi –

Untuk perempuan yang takutkan manusia macam aku ini, perasaan ini tak ubah seperti mahu melakukan Bungee Jump buat kali pertama seumur hidup.

Aku takut.

Aku fikirkan apa orang lain fikir tentangku.

Aku fikirkan apa lelaki itu akan fikir.

Aku fikirkan patutkah aku buat begini.

Dan atas semua itu, aku fikirkan aku tak mahu menyesal lagi.

Di laluan yang sama, lelaki itu sudah tiada. Hanya sisa yang tinggal.

Nasiblah bang.

Rezeki saya hari ini.