Melodi yang Berputar di Bumi Gersang: Bahagian 2

TANGISAN SYRIA DI BUMI JORDAN

Sedarlah kita,
malam mungkin ada.
Sedarlah,
esok belum tiba.
Kejutkan aku bila kau bersedia

Hari ketiga, kami diajak untuk menyertai tim Tangisan Syria di Bumi Jordan untuk aktiviti pengagihan barang bantuan untuk kem-kem pelarian yang ada di sekitar Mafraq.

Tangisan Syria di Bumi Jordan atau lebih mudah disebut TSDBJ (kenapa nama mereka ini panjang sangat jangan tanya aku) merupakan badan bukan kerajaan yang didaftar secara rasmi di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang dipengerusikan oleh saudara Musa Al-Nuwayri. Rakan kami Hadi dan Jaafar merupakan antara orang kuat tim ini.

Hari itu disertai dengan sekumpulan pelajar dari Universiti Mu’tah yang turut menyertai aktiviti tersebut.

_dsc0333

Mungkin yang pernah dengar tentang kem pelarian Za’atari yang menempatkan sejumlah besar pelarian dari Syria yang berada di bawah seliaan UNCHR.

Tetapi bukan kem tersebut yang kami pergi. Destinasi kami ialah kem-kem yang berada di luar kem utama tersebut, yang didiami oleh pelarian-pelarian yang kebiasaannya keluar dari kem utama kerana pelbagai asbab.

Sungguh aku tidak ada banyak yang mahu dikatakan kerana aku tahu, kata-kata tidak mampu mengungkap segala yang dirasa ketika kami menjejak ke tapak-tapak kem yang didirikan khemah-khemah dan berada jauh dari kawasan pekan atau bandar. Pendudukan kem terpaksa diletak jauh kerana pihak kerajaan Jordan tidak membenarkan khemah-khemah tersebut didirikan berdekatan jalan raya utama – jaga imej, katanya.

Angin musim sejuk menyapa wajah.

Aku perhatikan dari jauh beberapa kanak-kanak yang kegembiraan menerima gula-gula dari beberapa pelajar dari Mu’tah.

Beberapa khemah aku masuki untuk lihat keadaan hidup mereka. Ruang utama biasanya dilengkapi sobah kayu api untuk tujuan menghangatkan diri dalam dingin syita’. Syukur juga khemah yang diperbuat dari kain guni itu elok untuk memerangkap haba di dalam khemah. Jika yang bernasib sedikit lebih baik, ada dialas dengan karpet. Jika tiada maka mereka akan berlantaikan tanah.

_dsc0350
Sobah kayu api

Dalam musim sejuk yang boleh mencecah suhu negatif ini, aku tidak dapat bayangkan kehidupan mereka sehari-hari.

Orang-orang ini – agaknya bagaimana kehidupan mereka dahulu di Syria?

Bahagia? Sama susahnya? Berapa buah rumah yang mereka ada? Kereta? Satu? Dua?

Anak-anak ini – apa cita-cita mereka dahulu? Doktor, guru, pilot?

Apa rasanya terpaksa keluar dari kehidupan asal kemudian menumpang teduh di tanah orang?

Juga – sampai bila?

Persoalan-persoalan ini makin difikirkan makin membuat hati remuk.

Aku kira lebih baik jika gambar yang berbicara.

Antara perjalanan kami hari itu sempat kami lihat dari jauh kem Za’atari yang aku sebut sebentar tadi – kem seliaan UNCHR yang menempatkan sejumlah besar pelarian dari negara jiran. Kem ini bukan boleh dimasuki oleh siapa-siapa melainkan ada urusan atas nama UNCHR.

_dsc0388
Za’atari dari kejauhan

Kelihatan beberapa tentera bersenapang bersiap siaga berdekatan pagar kem. Hadi memberi amaran kepada kami untuk tidak berjalan melepasi batu-bata yang telah ditandakan sebagai kawasan larangan masuk.

Tiga tahun lepas, populasi kem ini ialah 83,000 orang dan kini aku tidak tahu apa statusnya.

Sudah wujud kem Za’atari ini, mengapa ada yang keluar membawa diri dan keluarga ke tempat lain ke tengah-tengah tanah gersang yang belum tentu akan nasib?

Tidak selamat. Pelacuran, dadah, buli dan isu-isu lain – bukan semua orang suci atas dunia ini.

img_5545
MYCorps dan UK bergabung – kredit gambar: FB Tangisan Syria di Bumi Jordan


KEPERLUAN ATAU KEHENDAK?

Oh bintang setia,
menari di angkasa,
khabarkanlah pada mereka,
sesungguhnya nikmat didunia,
itu hanya sementara.

B is for?

Budak perempuan berambut sedikit ikal itu diam sebentar, berfikir.

Ben.

Tawa pecah mengisi ruang kelas Sekolah KITA.

Ben, salah seorang sukarelawan MYCorps tersengih sambil menutup tag namanya yang terlekat di baju. Mereka, pasukan MYCorps dihantar oleh Khairy Jamaluddin untuk mengumpul maklumat tentang pelarian-pelarian, terutama di negara-negara Timur Tengah. Sekarang, MYCorps Middle East menghantar pasukan-pasukan mereka ke tiga negara: Jordan, Lubnan dan Turki. Maka janganlah kau kata kerajaan kita yang sekarang semua tahi-tahi.

Aku yang janggal dengan kanak-kanak hanya melihat dari pintu kelas.

img_5126
Kelas yang diajar oleh Ben dan Kak Zatul

Kedengaran suara Rahim yang menyanyi-nyanyi lagu A is for Apple dalam kelas lain yang berhampiran dan anak-anak yang sekejap-sekejap lupa akan lirik lagu itu menyanyi beramai-ramai.

Sekolah KITA – sekolah yang dibuka oleh TSDBJ untuk memberi peluang kepada anak-anak Syria mendapatkan pendidikan yang berhak mereka miliki. Setiap hari ada sukarelawan dari kalangan pelajar Malaysia di Mafraq akan datang mengikut jadual untuk membantu proses pembelajaran anak-anak di bawah bimbingan guru-guru yang diupah.

Bangunan yang disewa ini terhad kapasitinya – tetapi masih ada ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka belajar namun tidak dapat dipenuhi.

_DSC0227.JPG
Semangat kau dik

Di Irbid pula, terdapat kelas tusyen TFTN for Syria yang dinaungi Teach For The Needs Malaysia. Juga diuruskan oleh pelajar-pelajar Malaysia di situ.

Hari itu hari Rabu. Hari yang diperuntukkan bagi kelas lukisan yang diajar oleh Ustaz Muthanna.

Lakaran demi lakaran dibuat di papan putih oleh Ustaz Muthanna. Anak-anak Syria tunduk melukis dengan pensel-pensel warna yang dibekalkan.

Aisyah tekun mewarnakan lukisannya dan aku tekun pula memerhati. Usai mewarnakan matahari, dia bangun mendadak dan bergegas ke hadapan kelas untuk menayangkan lukisannya kepada Ustaz dengan bangga.

Anak berusia 10 tahun ini aku lakar dalam buku sketch yang aku khaskan untuk perjalanan mengembara.

 

Datang beberapa anak-anak melihat lakaran aku kemudian membelek-belek buku dengan teruja. Aduh sempat pula diwarna muka Aisyah yang baru aku lukis.

Kanak-kanak. Begitulah.

Usai bersembang dengan ahli-ahli tim TFTN for Syria tentang aktiviti mereka, aku dan Alia pulang dengan dimurakibkan oleh Syafiq Azizi, juga kawan satu sekolah dahulu.

Apa benda murakib? Yang itulah – biasanya pelajar perempuan akan meminta bantuan pelajar lelaki untuk menemani mereka jika mahu keluar malam, atas faktor keselamatan. Di negara Arab ini, macam-macam boleh jadi. Mendengar kisah kawan-kawan kami juga boleh meremang bulu roma.

Ini yang aku kagumi pada pelajar-pelajar di sini, semangat bermasyarakat yang tinggi. Saling menjaga antara satu sama lain.

Aku yang selalu balik malam bersendirian kerana tekanan kerja di sekolah ini terasa agak janggal, tapi turutkan sajalah. Sepanjang berjalanan kami bersembang tentang tempat-tempat yang pernah dilawati.

Keesokan harinya kami mengeteh di NM sambil menunggu Sher yang ya ampun sibuknya jangan ada yang pertikaikan. Sher memesan sarapan (atau makan tengahari?) dan kebetulan di situ turut ada Alif yang baru sahaja pulang dari hospital dan terus menyertai perbualan kami.

Kami kemudian melawat Tadika MACS (Malaysian Arabian Cultural Society Pre-school) yang terletak di seberang jalan. Kata Sher, melangkah masuk ke tadika ini ialah seperti melangkah ke syurga. Aku hanya mengangguk walaupun tidak faham sepenuhnya.

Dan ya Tuhan – tidak ada yang benar melainkan yang benar-benar belaka, ketenangan menyambut kami saat kami menyertai kelas-kelas yang sedang berlangsung. Mungkin disebabkan ini adalah sebuah tadika, maka budak-budaknya duduk diam ketika proses pembelajaran berlangsung.

Alunan lagu tentang warna-warna dalam bahasa Arab dan Inggeris yang dinyanyikan para kanak-kanak ini mengikuti guru mereka menambah rasa damai dalam hati.

img_5213
Kawanku Sher yang terkenal

Walaupun dunia ini dipenuhi tahi, perkara-perkara sedemikian ini buat aku rasa masih ada harapan dalam kemanusiaan.

Sungguh, dunia ini masih ramai orang-orang yang baik-baik.

IRBID DAN MANUSIANYA

Irbid sebuah bandar yang maju, dipenuhi bangunan-bangunan moden. Pusat beli-belahnya bahkan lebih banyak dari Cardiff.

Di bandar ini kami bermalam di rumah Nik dan Iffah. Hari pertama kami di Irbid sudah diajak untuk makan-makan di Nur Malaysia(NM), restoran kegemaran pelajar-pelajar di situ.

Malam itu hujan lebat.

Masuk sahaja NM dalam keadaan lencun, semuanya muka Melayu.

Aduh aku terhibur. Sudah lama tidak berhadapan situasi kedai makan Malaysia. Aku, Alia dan Atha adalah yang terawal tiba. Kemudian disusuli dengan Nadhrah, Hani, Nik, Hanizah dan Alif.

Berderai tawa malam itu apabila kami rakan satu sekolah berkumpul dan berkongsi cerita. Mereka ini, walaupun sedang sibuk itu-ini, mahu daftar subjek, mahu peperiksaan, mahu berpersatuan, sanggup meredah hujan lebat dan sejuk dingin malam untuk menyambut kedatangan kami ke Irbid.

Inilah yang aku katakan – ihtiram dhuyuf, level: Jordan.

img_5161
Sebahagian KISAS di Jordan

Hari esoknya kami berjalan di balad Irbid yang riuh dengan jual-beli yang berlangsung. Sayang sekali aku tidak dapat menghadam sepenuhnya pengalaman itu akibat alergi dengan kucing Iffah, si Jun – siapa suruh gatal main kucing, hei – dan hidungku berair ditambah dengan mata yang gatal. Debu-debu berterbangan serta asap dari kedai sana-sini langsung menambahkan lagi kesengsaraan aku hari itu.

Hatta memakan kebab yang dikatakan paling sedap di Irbid juga tidak dapat aku nikmati dengan puas. Apa yang menghiburkan aku hari itu hanyalah nyanyian penjual kentang.

Batoto – batoto – “ dan entah apa lirik yang dinyanyikannya, mahu menarik pelanggan.

img_5168
Balad Irbid

Malam itu kami tidur di rumah Iffah sebelum esok ke MACS dan kemudiannya pulang ke Mafraq.

GURU KEHIDUPAN

Ta’al, sowwir,

Satu-satunya ayat yang mampu aku ucapkan dengan penuh yakin. Ayuh sini, bergambar.

Raghad duduk di atas ribaku, membelek-belek telefon yang telah aku buka apps kamera. Satu dua selfie diambil. Setelah diajar cara mengambil gambar, aku biarkan dia bahagia dengan dunianya, kesana kemari, hingga ditegur lelaki yang lebih remaja untuk memulangkan kembali telefon padaku walaupun aku tidak kisah.

Seorang anak cerdas menghampiri Alia.

Shusmik?” Nama ditanya.

Ahad. Wa enti?

“’Ulya!

Ana Ahad, wa enti ‘Ulya!” Alia memutar belit fakta. Belajar dari Rahim.

Laa!!” Ahad menjerit menafikan, ketawa dalam geram.

Malam pulang ke Mafraq, Hadi dan Jaafar membawa kami ke kem pelarian Abu Abdullah untuk nikmati juadah BBQ yang turut disertai ahli MYCorps yang berkampung di Mafraq, Ben, Rahim, Kak Fara dan Kak Zatul.

Juadah disajikan dan kami kekenyangan dengan makanan yang bertambah-tambah. Pertama kali juga aku makan bawang bodoh (yang dibakar) begitu sahaja dan roti yang dibakar dengan cara menampalnya pada sobah.

img_5222
BBQ

Malam berlalu pantas kerana kami rancak bersembang serta bermain-main dengan anak-anak kecil ini. Mahu main game Pokemon Go yang belum aku uninstall, tiada signal internet. Cian. Sudahnya aku ajar mereka melukis di apps You Doodle. Agak bising, hingga hampir terjaga anak kecil Abu Abdullah, si Abdul Hayy dalam buaiannya.

Seorang perempuan muda bergegas memujuknya tidur kembali.

Cantik.

“Shusmak?” (Setelah aku balik baru aku tahu shusmak untuk lelaki dan shusmik untuk perempuan – aduh malu!)

Aku lupa namanya.

Kam ‘umruk?

Aku bertanya dalam Arab fushah – bahasa Arab baku dan bukannya ammi. Seolah kau bertanya dalam bahasa Melayu, “Berapakah umur anda?” dan bukannya “Umur awak berapa?”

Dia senyum sahaja sambil melayan soalan aku yang berterabur tatabahasa.

Beberapa tahun lebih muda dari aku, tapi mata beningnya mengungkap rasa jauh lebih dalam dari yang mampu aku selami – kerana mungkin saja aku akan lemas sebelum sampai ke lubuk hatinya yang paling dasar.

Aku melihat sahaja dia berkejaran kesana kemari untuk menunaikan tanggungjawabnya. Ah aku malu untuk mengaku usia 21 tahun ketika itu.

Mereka mengetahui kami dari London (sebenarnya tidak, tapi biarkan sajalah) lalu menawarkan kami untuk tidur semalaman di kem itu. Sayang sekali perut aku sudah meragam sejak pagi akibat senggugut, maka terpaksa ditolak dan kami membuat keputusan untuk pulang tidur di rumah Hanizah pada malam itu.

Sebelum pulang, Abu Abdullah sambil meriba Abdul Hayy (yang sudah terjaga ketika itu – aduhai) memanggil kami untuk menonton video di telefonnya. Video ketika beliau dan keluarga mula-mula merentas sempadan untuk masuk ke Jordan sebagai pelarian perang.

Beberapa orang terbaring, cuba tidur di atas simen di sebuah bangunan seperti gudang. Sehelai sepinggang.

Dan aku – tidak tahu apa mahu dirasa. Frustrated? Hati mula sebal – marah, sedih, kecewa. Seperti ada bebola pasir dalam tenggorokan dan mata mula terasa panas.

Punya bangang manusia ini berperang hingga melukakan orang awam yang tidak berkaitan?

Tapi seperti juga Abu Gharam – malam itu, sungguh, mereka menghantar kami pergi dengan semanis-manis senyuman.

Kata Hadi – Abu Abdullah ini guru kehidupan.

Benarlah. Semangat mereka kuat.

Kerana segala melodi yang berputar di bumi ini, buruk baiknya – semuanya telah diatur Tuhan.

Maka kita juga kenalah kuat juga.

Balik itu aku periksa telefon aku.

Lebih 200 gambar burst.

Raghad!

 

img_5360
Aduh budak kecil ini

KOTAK-KOTAK BATU BATA

Jam 8 pagi sekali lagi Hadi dan Jaafar menunggu kami di hadapan rumah. Kami ke Amman pagi itu dan melawat beberapa tinggalan di bandar itu seperti Roman Theatre oleh empayar Rom yang dibina ketika bandar itu bernama Philadelphia dan juga Amman Citadel yang ditinggalkan oleh empayar Rom, pernah dihuni empayar Byzantine dan kemudiannya Bani Umaiyyah.

Dari atas bukit tempat Amman Citadel terletak kami boleh lihat keseluruhan bandar Amman dengan jelas – dengan gaya kotak-kotak batu yang sama sahaja di mana-mana di Jordan ini.

img_5513
Amman yang berkotak-kotak

Teringat perbualan dengan Akmal pada malam kami tiba di Jordan mengapa di negara bangunannya kotak-kotak – katanya, agar mudah untuk dibina dan mudah pula untuk ditambah tingkat-tingkat baru di atas bangunan yang sedia wujud. Patutlah terdapat tiang besi berceracak di sesetengah bangunan, itu merupakan pembinaan tingkat baru yang belum selesai. Katanya lagi, kebiasaannya tingkat baru dibina untuk ahli keluarga yang bertambah – ataupun untuk disewa kepada orang lain.

Dan dibina sepenuhnya dengan batu yang tidak berapa tebal pun – aduh, patutlah rumah kau orang sejuk seperti peti ais. Ditambah tingkap yang selalunya single-glazed, manakan haba mahu terperangkap di dalam rumah dengan baik. Namun mungkin juga ianya dibina demikian untuk menghadapi musim panas membahang di negara bercuaca ekstrim ini.

Usai meneguk hashab sukkari yang manisnya ya ampun, aku dan Alia berjalan sekitar Amman berhampiran masjid sementara menunggu teman kami Alif yang baru sahaja selesai peperiksaan medicnya di Irbid dan bergegas menaiki bas menuju Amman. Tidak banyak bezanya dari di Irbid, tipikal bandar yang penuh dengan ragam manusia berjual-beli.

Kami berjumpa Alif di Sweileh dan meneruskan perjalanan ke Petra.

GAMBAR BERNILAI 50 DINAR

Perjalanan yang kian bisu kembali meriah dengan kehadiran Alif serta banyak teka-teki baru yang ditanyakan. Galak berteka-teki, kelihatan dari kejauhan si polis cuba menahan kereta kami. Jaafar selaku pemandu keluar, cuba berbudi bicara – hanya untuk disaman kerana tidak memakai tali keledar.

Aduh. Marah betul lelaki ini hingga ke balik tidak habis-habis mengungkit dan dianjing oleh kami perihal tali keledar. Katanya – tidak pernah di Jordan ini berhadapan dengan kes disaman disebabkan tidak memakai seatbelt.

Pagi esoknya kami keluar awal dan bersarapan dengan mi segera yang dibeli sebelum itu sebagai bekalan tenaga sebelum memulakan perjalanan ke checkpoint akhir Petra.

Sedari awal aku dan Alia sudah bersedia dengan hawiyyah – kad pelajar Jordan yang dipinjam dengan ahli rumah Hanizah. Ini kerana harga biasa ialah 50JD dan harga untuk pelajar ialah 1JD. 50 kali ganda – dan kami lepas!

Alif dipanggil, dia hanya bawa iqamahnya, iaitu kad pengenalan Jordan. Aku dan Alia hanya memerhati dari jauh, kelegaan. Butir bicara mereka tidak kami fahami.

50 Dinar!

Terdapat isu dengan tarikh mula dan tamat iqamahnya dan pegawai itu mendakwa Alif hanya bekerja di situ dan bukan belajar. Entah aku mahu ketawa atau simpati.

Petra inilah yang wajib ada dalam setiap gambar Instagram milik pelajar Jordan – kerana ianya salah sebuah daripada 7 keajaiban dunia. Manakan tidaknya, siapa punya gila mahu korek batu buat rumah dalam gunung?

img_5569
Pintu gerbang pertama

Tinggalan puak Nabatean ini mempunyai dua pintu gerbang. Dalam 2-3 jam juga perjalanan sehala menuju checkpoint terakhir. Terdapat tempat sembelihan, penyembahan berhala, mahkamah, rumah, dan macam-macam lagi, tipikal sebuah kerajaan kuno. Seperti tinggalan kaum Tsamud, yang dikatakan terletak di Mada’in Saleh atau lebih dikenali sebagai Hegra yang berada di Arab Saudi.

img_5591
Lihatlah skala manusia dengan saiz tiang itu hei

Ada ruang mahkamah yang aku masuk – luas ruangnya ialah dua hingga tiga tingkat bangunan. Ini gunung, gila!

img_5607
Pintu gerbang kedua

Ukiran di pintu gerbang juga bukan main cantik.

Kami mendaki checkpoint akhir yang dipenuhi papan tanda ‘Best view in Jordan’.

_dsc0555
Kredit: Alia Hazwa

Orang memanjat ini, awalnya dia akan teruja. Di tengahnya dia akan mengeluh, mengapa aku tidak duduk di rumah sahaja buat itu dan ini. Di akhirnya, sungguh, hanya Tuhan yang tahu akan nikmat itu.

Aku tidak tahu apa sebenarnya yang menarik aku untuk teruskan aktiviti ini walaupun jujur, bukanlah aku seorang yang kuat stamina atau atletik. Tetapi roh seolah diseru-seru untuk datang menikmati gunung-ganang ukiran Tuhan ini.

img_5602
“Best view”

Kami ketawa melihat Alif mengambil gambar dengan bangga sambil memegang tiketnya yang bernilai 50JD.

Angin musim sejuk membuat badan kesejukan dan bertambah lapar. Kami bergegas turun dan pulang. Di pertengahan jalan kami putuskan untuk menaiki unta hingga sampai ke hujung.

Gila, gayat.

DI SEBERANG SANA IALAH ISRAEL – JADI?

Pulang dari Petra kami terus ke Aqabah dan makan makanan laut segar di sebuah restoran. Malam dihabiskan dengan berjalan-jalan di sekitar Aqabah dan duduk menikmati bayu di tepi Laut Merah ditemani syai panas manis. Angin berpuput lembut membawa aku ke dunia sendiri.

Pagi itu pula dihabiskan dengan menaiki bot yang dibawa seorang budak berusia belasan tahun sekitar Laut Merah dan memerhati kediaman Raja Jordan yang bersebelahan Israel dari jauh. Dari jauh juga kelihatan bendera besar Revolusi Arab yang baru cuba dinaikkan – lambang Aqabah menjadi kubu terakhir Turki Uthmaniyyah yang akhirnya tunduk pada tekanan Arab.

img_5648
Yang di sana itu Israel kahkahkah

Bendera gergasi ini merupakan simbol kebebasan Arab daripada pemerintahan Turki Uthmaniyyah sekitar 1910-an yang membolehkan mereka memerintah negara-negara sendiri – iaitu negara-negara Arab yang dapat kita lihat hari ini. Bendera inilah yang menjadi inspirasi kepada bendera-bendera negara Arab yang lain seperti Jordan, Mesir, Iraq, dan banyak lagi. Hitam melambangkan Abbasiyyah, putih Umaiyyah, hijau Fatimiyyah manakala merah ialah Hasyimiyyah.

3.jpg
Kredit gambar

Sejarah mereka ini panjang dan tidak pula aku berani untuk mengulas lebih-lebih di sini dengan sumber Wikipedia yang terhad.

Petang itu kami terus ke Wadi Rum untuk bertemu Abu Hasyim, orang yang akan membawa kami ke tempat tidur di entah tengah mana di padang pasir merah itu.

DENGARLAH BINTANG HATIKU

Aku keluarkan tangan dari tingkap Avanza, menyambut deru angin padang pasir dingin yang menerjah. Tapak penggambaran The Martians ini memang mengagumkan.

Avanza itu kemudian ditinggalkan di tempat parkir dan kami menaiki jip Abu Hasyim. Ya Tuhan, syukur aku sudah beli ubat muntah di farmasi sebelum itu. Kami berhenti di beberapa checkpoint yang landskapnya lebih kurang – tapi tidak menjemukan.

Sempat juga aku, Alia dan Jaafar memanjat bukit tempat keluarnya mata air sebagai sumber minuman unta-unta di situ sebelum makan tengahari – yang terdiri daripada roti, daging, tomato, timun dan bahan makanan yang aku kira rawak tapi cukup zat.

IMG_5688.JPG
Indah khabar dari rupa

Ah mungkin tidak banyak yang boleh aku ceritakan melainkan hanya gambar-gambar yang boleh ditunjukkan.


Musim sejuk yang membuatkan malam tiba seawal jam 6 petang buatkan aku kebosanan. Syukur juga aku bawa kad Uno dari Cardiff sebagai bekal dan Alif berada berhampiran. Alia dan Hadi sudah tidak nampak bayang, terlena di khemah masing-masing.

Aku cong kad itu.

Jaafar masuk.

Baru mahu main kad bertiga, tiba yang keempat dan kelima. Bukan Alia dan Hadi.

Abu Hasyim dan anaknya.

Peraturan diajar oleh Jaafar dan Alif kepada anak beranak Badwi itu. Alia dan Hadi tiba kemudiannya dalam keadaan mengantuk, sedikit teruja melihat situasi itu. Sudahnya kami main bertujuh.

img_5718
Abu Hasyim, Abdul Muttalib dan Jaafar yang gigih menerangkan

Keluarga di sebelahku menyambut Christmas Eve yang jatuh pada malam itu. Beberapa meja lain juga dipenuhi orang-orang yang bermain daun terup ataupun hanya berbual kosong. Lama juga bermain hingga ke tengah malam hingga habis pusingan terakhir, kemudian Abu Hasyim dan anaknya meminta diri.

Kami pula buat keputusan untuk membawa hirom-hirom yang dibekalkan untuk tidur di atas padang pasir dalam suasana yang gelap untuk melihat bintang. Sebotol air dibawa untuk disuluh dengan lampu telefon bagi menerangkan suasana malam pekat.

img_5720

Terima kasih Tuhan – untuk segala cerita dan rasa yang disaksikan jutaan bintang ini.

EPILOG

This is for 1 o’clock, my love.

Kecewa. Masih belum dapat pulang.

Otak aku masih pening dengan perjalanan dari jam 1 pagi. Selepas transit di Paris, dari Heathrow aku perlu bertukar-tukar bas beberapa kali.

Siapa yang tahu rusuh hati ini ketika aku melihat Alia menjauh, ingin pulang ke Nottingham. Perempuan gila yang perlu aku bertahan dengannya seorang selama 12 hari.

Siapa yang tahu galau hati ini ketika bas bergerak meninggalkan Terminal 4 Heathrow Airport. Tanpa segan pula air mata mula tumpah membasahi pipi dan kemudian jatuh di lengan bajuku.

Ah – aku rindu.

Tapi ketentuan Tuhan – tidak sangka dengan satu post Instagram dariku menyebabkan rakanku Ulfah yang berada berhampiran Victoria Coach Station bergegas mencariku hingga jumpa.

Dan pertemuan itu juga yang mengelakkan aku daripada ditipu lelaki random yang menghampiriku.

Ya Tuhan – segalanya bercantum menjadi melodi yang disusun cukup indah.

Aku ingin tersenyum sepanjang masa tapi sayangnya bibirku luka akibat kekeringan.

Jam 5 petang nanti aku jangka sampai Cardiff.

Penat.

Perjalanan kali ni lain benar daripada yang sebelum-sebelumnya.
Jordan bawakan kepada aku ke sebuah dunia yang baru.

Tentang sejarah, kemanusiaan dan persahabatan.

Tentang rasa. Tentang hati.

Tentang kita.

Manusia.

Bermula dengan perancangan yang entah apa dan berakhir dengan tangisan bahagia dan kerinduan.

Sungguh.

Terima kasih pada semua yang mencinta.
Pada semua yang degil untuk terus hidup.

Pada semua yang menyumbang – harta dan tenaga –

Pada semua yang percaya akan masih adanya harapan pada dunia ini.

Dan pada semua yang memuliakan kehadiran kami – terima kasih. Budi ini akan dibawa mati.

Moga baik-baik semuanya.

Ketemu lagi kita di syurga nanti – insyaAllah.

Sedarlah kita,
malam mungkin ada.
Sedarlah,
esok belum tiba.
Kejutkan aku bila kau bersedia

Cardiff,
United Kingdom.

 

 

Melodi yang Berputar di Bumi Gersang: Bahagian 1

Terjaga, ku disentuh lembutnya suria,
dan siang pun berubah
pelangi hidup disambut senja

Pabila,
kau cuba buktikan pada semua,
kau bersungguh membina,
apa yang kan runtuh jua

“Aku ingat nak pergi Jordan.”

Angin Pulau Perhentian bertiup sepoi-sepoi bahasa. Aku pandang laut lepas.

“Aku pun.”

Sepanjang enam tahun aku berkawan dengan budak Alia ini beginilah. Keputusan dibuat mendadak, kemudian jalan terus. Maka kami pun mengumpulkan dana untuk dibawa ke Jordan, negara paling banyak menerima pelarian. Tak lama, sebulan saja dapat kami kumpul dalam £1200 dari UK dan Malaysia untuk disalur kepada pelarian Syria dan sekolah-sekolah yang dibuka oleh anak-anak Malaysia untuk anak-anak Syria.

“Orang Malaysia ni baik-baik.” kawan aku pernah sebut.

Selepas transit di Paris, kami teruskan perjalanan dengan kapal terbang ke Jordan tanpa hiburan kerana tiada skrin di tempat duduk. Aduh. Mahu tidur tak berapa lena.

Tiba-tiba sang isteri menjerit histeria kerana suami tidak sedarkan diri.

Panik satu kapal. Ini di udara, gila!

Beberapa orang yang aku yakini sebagai doktor melompat dari tempat duduk mereka untuk memeriksa apa yang berlaku. Sempat aku tengok lelaki itu mencelikkan mata. Syukur, tidak ada apa-apa.

Habis satu episod kecemasan.

img_4779
Transit di Paris

Tiba di Jordan, dengan tidak tahu berbahasa Arab kami jalan sahaja ke arah staff imegresen. Ditanya nama bapa juga sudah menggelabah. Syukur lagi, kerana tidak perlu bayar 40JD untuk visa disebabkan kami orang Malaysia.

Ah, dengan keadaan aku yang bertolak dari Cardiff jam 1 pagi untuk ke London dan perlu meneruskan perjalanan hingga jam 9 malamnya ke Jordan, dengan membawa 4 buah bagasi penuh muatan diisi mainan dan buku-buku untuk anak-anak pelarian – Tuhan sahaja yang tahu kepenatan yang terasa. Perlukah aku ceritakan pula tentang sahabatku yang terlepas perhentian bas di Heathrow Airport?

 

 

img_4750
Tunggu orang terlepas stop bas

Kelakar juga. Belum apa-apa sudah macam-macam.

Di Queen Alia International Airport, kami menunggu Hadi, Akmal dan Jaafar untuk mengambil kami dari lapangan terbang sambil melihat perilaku bangsa Arab menyambut keluarga mereka pulang dari graduasi dengan gendang dan bermacam alat muzik.

Bingit.

Suhu di luar bawah 10 darjah selsius, seperti di UK. Tiada masalah untuk kami biasakan diri dalam cuaca begitu.

ANAK MALAYSIA DI JORDAN

Mafraq dijadikan sebagai pangkalan dan menumpang teduh di rumah sahabat sekolah kami. Kami tiba jam 1 pagi – waktu yang agak lambat untuk menyambut tetamu, tapi sahabat kami ini – Hanizah – sanggup menerima kami dengan senyuman walaupun dia sendiri agak kurang sihat, malah disediakan macam-macam dan menceritakan macam-macam tentang kisah mereka belajar di sana.

Dan celaka, suhu dalam rumah mereka sama sahaja dengan suhu luar rumah, berbeza dengan di UK apabila dalam rumah ialah suhu yang biasa-biasa sahaja. Ranap segala keangkuhan kami bahawa kami boleh membiasakan diri dengan cuaca sebegitu rupa. Menggigillah kami bertapa di depan sobah dan kemudian dalam hiromheater dan selimut tebal versi Jordan.

 

img_4785
Sobah gas

Air minum pula perlu dibekalkan kerana air paip tidak selamat untuk diminum walaupun telah dimasak kerana kandungan klorin yang terlalu tinggi. Belum masuk kisah air panas untuk mandi dan membersihkan diri – yang memakan masa hingga 20 minit untuk dipanaskan dan perlu berjimat cermat demi mengurangkan bil elektrik. Kalau tidak mandilah kau dengan air sejuk macam air batu.

Ya Tuhan.

Macam mana kau orang belajar?

Aku yang baru setahun setengah di United Kingdom pun mengeluh sana-sini. Kau orang?

“Belajar sajalah. Duduk dalam hirom baca buku.” Rasyiqah jawab sambil tersenyum.

Aduh.

Mahu saja aku sorok muka dalam lubang jamban.

Tapi bilik air sejuk.

Hari itu kami habiskan dengan cubaan mencerna semua maklumat baru tentang gaya hidup serta budaya baru yang jelas berbeza dengan keadaan di Eropah.

PARUT

Jam 8 pagi keesokan harinya, Hadi dan Jaafar sudah menunggu kami di luar rumah dengan kereta sewa yang diambil dari Irbid. Siang itu barulah terlihat suasana Mafraq secara jelas.

Matahari memancar walau tak berapa nak panas pun. Sepanjang-panjang perjalanan mata disapa dengan bangunan batu-bata perang serta padang pasir yang menyentuh horizon (hah ayat!). Ada beberapa khemah yang menurut Hadi, itulah pelarian-pelarian Syria yang keluar dari kem Za’atari di bawah seliaan UNCHR dan membawa keluarga mereka ke tempat lain.

Kami tiba di rumah Abu Gharam, yang diupah untuk memasak ayam buat bekalan kami di Laut Mati nanti petang.

Janggal dia tak usah nak bayang lah, bukan tahu cakap Arab pun. Sengih-sengih dan ajak bergambar dengan anak-anak dia sambil kami dihidangkan dengan syai’ – teh yang manis nak mampus tapi sedap.

img_4814
Abu Gharam, anak-anaknya dan Hadi

Hadi buka cerita tentang lelaki yang berkulit putih kemerah-merahan ini bagaimana dia boleh merentasi sempadan Jordan.

Sekampung dibunuh. Dia ditembak di bahagian lutut. Melarikan diri dari negara sendiri bersama anak bini – dalam keadaan anak sulungnya ketika itu separuh mati – sehingga pegawai di sempadan meragui adakah anak itu masih hidup atau tidak.

Abu Gharam menunjukkan bekas parut tembakan.

Oh.

Aku tidak bersedia untuk kisah ini.

Tetapi ketahuilah, Abu Gharam yang aku kenal pada hari itu – senyumannya manis dan tawanya indah, menghangatkan hati – sehangat syai’ kami hirup yang diisi terus-menerus oleh isterinya.

Setelah berselfie dengan anak-anaknya yang photogenic dan berborak (kawan-kawanku yang pandai bercakap Arab, bukan aku), kami meminta diri untuk pulang. Dua dulang ayam dihulur bersama sebuah bekas.

 

img_4805
Photogedik

Kami melambaikan tangan, mahu beransur pergi.

Kedengaran tawa Abu Gharam yang menghiburkan.

PENYUCIAN DOSA DAN LAUT KAUM NABI LUT

Kami bergerak ke tapak yang dipercayai tempat Nabi Isa dibaptis di al-Maghtas. Dikatakan di sinilah agama Kristian bermula setelah dibaptis oleh John the Baptist. Berhadapan kami dalam lingkungan 5-10 meter ialah Israel dan dari sini kami boleh lihat ramai orang yang berpakaian serba putih cuba untuk mandi – menyucikan diri mereka dari dosa.

“Kau tengok, sebelah sana cantik dibina guna batu. Di sini kayu saja.”

Betul juga.

Bahkan sebelah sana nampak kemas dan teratur berbanding di negara ini yang kelihatan ala kadar mahu memelihara tapak warisan ini.

Prioriti mungkin.

Ayam yang kami terima dijadikan bekal untuk dimakan di tepi Laut Mati yang berhadapan Israel. Pantai agak sunyi tetapi kami dikejar kucing-kucing liar kelaparan. Sepanjang makan kami isi dengan aktiviti membaling ayam kepada kucing dan mengetawakan mereka.

_dsc0223
Kucing kesian (Kredit gambar: Alia Hazwa)

Kami hanya mencelup kaki dan bermain air di Laut Mati dan tidak mandi – kerana aku malas.

Laut ini dipercayai sebagai kawasan kaum Nabi Lut – yang melakukan kemungkaran terhadap Tuhan dengan perlakuan luar tabi’i mereka, sehingga apabila diutus malaikat menjadi tetamu kepada Lut pun mereka mahu.

Sehingga bumi diterbalikkan dan dihujani batu-batu. Tiada yang terlepas, termasuklah isteri baginda sekali.

Iman tu bukan diwarisi, kan?

Sekian kisah sirah kali ini.

img_4860
Laut masin nak mati

Kami pulang dari laut yang masin (jika terminum, pedih anak tekak) itu dan pulang ke Mafraq untuk melawat anak-anak Syria di Sekolah KITA, sebuah sekolah yang ditubuhkan oleh pasukan Tangisan Syria di Bumi Jordan. Tapi ini akan aku kisahkan dalam entri seterusnya.

 

HIDUP INI SEBUAH PEREBUTAN

Hari seterusnya kami ke Umm Qays dan Jerash, kedua-duanya bandar tinggalan Rom yang biasa kau lihat ada tiang-tiang gergasi. Sebenarnya tinggalan mereka bersepah-sepah di bumi padang pasir ini kerana besarnya empayar yang mereka bina.

Seperti biasa, tiang-tiang Doric, Ionic dan Corinthian – identiti seni bina Rom menyapa pandangan kami saat kami melangkah ke kuil-kuil (temple) mereka. Seni bina begini malah dibawa hingga ke Eropah yang boleh kita lihat pada binaan-binaan yang wujud pada hari ini. Di Umm Qays yang kedudukannya berada di atas bukit, kesan runtuhan bangunan-bangunan mereka kelihatan jelas akibat gempa bumi yang berlaku di kawasan itu.

dscf6116
Kuil

Terdapat teater Rom yang agak besar bersambung dengan lot-lot kedai serta kuil yang aku sebutkan tadi – ah, manusia zaman mana-mana pun perlukan hiburan.

dscf6112
Teater Rom

Kedudukan Umm Qays yang tinggi ini membolehkan kami melihat Bukit Golan. Kerana kawasan ini kawasan lembah dan terdapat sumber air yang cukup maka ianya lebih subur kehijauan jika dibandingkan dengan kebanyakan kawasan lain di Jordan.

Bukit Golan inilah yang Jordan-Israel-Syria berebut sejak dulu. Waktu Six-Day War yang melibatkan puak Arab bergaduh dengan Israel tahun 1967, akhirnya bukit ni Israel yang dapat. Bukit ini ialah sempadan tiga negara – Jordan-Israel-Syria.

 

Sebelah Bukit Golan ialah Tasik Tiberias, sumber air tawar yang kini kepunyaan Israel yang besar juga kalau nak diambil kira kawasan yang bercuaca gersang ini. Sekarang kau tahu kenapa budak Malaysia terpaksa tunggu air minum dihantar ke rumah, bukan?

 

dscf6138
Kanan Bukit Golan. Yang sayup di tengah-tengah Tasik Tiberias.

Begitulah Jordan. Adik-beradik Palestin namun cukup halus dalam cuba menjaga kepentingan diri dengan membuat hubungan diplomatik dengan Israel.

Dari Umm Qays kami ke makam sahabat nabi, Muaz bin Jabal yang terletak berhampiran. Masuk ke makam itu baunya wangi – meski aku tidak tahu apakah itu bau minyak wangi atau semulajadi, kerana aku pernah baca dalam internet bahawa penjaga makam mendakwa tidak pernah meletak apa-apa wangian di dalam ruang itu.

Tuhan saja yang tahu.

Ada pesan Muaz bin Jabal ditampal dalam dinding ruang makam, tentang ilmu.

 

“Pelajarilah ilmu, kerana mempelajarinya kerana Allah s.w.t. adalah tanda takut kepadaNya. Menuntut ilmu adalah ibadat, mengingatinya adalah tasbih, menyelidikinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikan kepada ahlinya adalah kebaktian sebab ilmu itu jalan untuk ke syurga.”

Tak ada yang boleh aku ulas. Semua dah jelas.

Petangnya kami ke Jerash, juga tapak tinggalan Rom yang kemudiannya dibangunkan oleh Turki Uthmaniah dan kemudian dihalau keluar kerana sudah tamat waktu melawat.

– Tamat Bahagian 1 –

Cinta yang (Harapnya) Berputik di Barcelona

Habis seminggu tugasan melukis tangga di universiti, aku sertai study trip yang dianjurkan Welsh School of Architecture ke Barcelona, Sepanyol. Aku dan dua kawanku tiba sehari awal dan menginap di sebuah hostel.

Hari pertama, kami ke Parc del Laberint d’Horta, sekadar bersiar-siar. Dari atas, aku boleh lihat pengunjung mencari-cari tempat keluar. Kebetulan ada seorang budak yang entah di mana ibu bapanya berpusing-pusing di tempat yang sama. Aku dapat rasakan perasaan paniknya dan bersimpati tetapi situasi itu buat aku terketawa dari atas.

Dan aku pun masuk.

Sesat.

Itulah, lain kali jangan gelakkan orang.

IMG_4756
Sesat woi -_-

Oh ya, perlu aku beritahu awal-awal tentang kad sakti yang amat memudahkan perjalanan kami di sini. T-10, dengan harga €9.95 boleh digunakan 10 kali dan dikongsi bersama teman perjalanan. Itupun kami dapat tahu melalui pak cik penjual simkad sejurus sahaja keluar dari lapangan terbang. Setelah memberi salam dan mempromosikan simkad Lebaranya pada kami, dia ajarkan kami tentang sistem ini.

IMG_4878
Tiket sakti

Balik kepada cerita asal. Dengan Metro yang tiba 4 minit sekali, apalah lagi yang aku mahukan. Dari Mundet kami menaiki Metro untuk ke Stesen Alfons X untuk perjalanan kami seterusnya, mengejar matahari terbenam. kami bergegas mencari bas untuk ke Bunker de Carmel, bukit yang memberi permandangan seluas alam meliputi seluruh bandar Barcelona.

Moral: Kalau nak mengejar matahari terbenam, mulakan perjalanan 1-2 jam awal.

Siapa sangka benda alah yang dipanggil Bunker ini ialah sebuah jalan berbukit yang perlu dinaik secara curam. Ketika kami sampai di atas Maghrib sudahpun masuk waktu dengan sisa warna keperang-perangan di langit barat. Maka bersolatlah kami di atas bukit dan seterusnya makan malam bersama-sama dengan menu makanan Syria yang ditapau tengah hari tadi, menikmati pemandangan kota Barcelona yang bercahaya.

IMG_4777
Barcelona pada waktu malam

GEREJA TERTINGGI DI DUNIA

Usai bersarapan dengan roti dan air coklat panas, kami berkumpul di hostel hall. Salah seorang pekerja hostel itu tersenyum dan mengucapkan salam. Teruja mungkin dengan kehadiran Muslim, dia memulakan perbualan.

“Do you know Arabic?”

“Yeah, I learnt it a little bit.”

A little bit? Yeah right. 11 tahun belajar. Sedih ustaz-ustazah aku kalau dengar ni.

“Do you know Qul Huwa Allahu Ahad?”

“Yeah.”

Pagi kami dimulakan dengan tazkirah tentang bagaimana Surah al-Ikhlas diibaratkan sebagai sepertiga al-Qur’an. Lelaki ini menceritakan bagaimana Muhammad mahu membaca sepertiga al-Qur’an dalam solat yang bakal diimamkannya lalu hanya membaca surah itu. Sahih Muslim (812).

Oh. Padunya surah itu.

Dibacakan surah itu satu persatu dan maksudnya sekali.

Oh. Padunya pakcik ni.

Kami teruskan perjalanan ke destinasi pertama, Sagrada Família dengan berjalan kaki. Oleh sebab aku tak mampu deskripsikan dengan kata-kata, lihatlah sendiri.

Mula dibina 1882, sampai sekarang tak siap-siap kerana gereja ini dibina menggunakan sumbangan orang ramai. Sekarang ianya dijangka siap lebih kurang dalam tempoh 10 tahun lagi, dengan ketinggian total dua kali ganda daripada ketinggian menara-menara yang sedang berdiri hari ini.

Bahagian timur dipenuhi ukiran yang mendeskripsikan zaman Jesus dilahirkan dan bagaimana baginda membesar, mengikut ajaran Kristian, sudah tentu. Seperti tidak perlu diterangkan, keindahan dan kegembiraan yang datang bersama kelahiran Jesus digambarkan melalui ukiran malaikat-malaikat yang memegang harp dan flute. Tidak lupa ketika zaman Jesus membesar ketika baginda membuat kerja-kerja seperti orang kebanyakan. Apa yang membuatkan pintu masuk ini nampak syurgawi ialah kerana kehalusan seni ukiran yang menggunakan motif alam semulajadi sebagai entrance kepada gereja ini.

Berbeza dengan bahagian barat, ianya agak hambar (plain) dengan ukiran patung yang menggambarkan penghujung hidup Jesus, ketika baginda dikhianati dan akhirnya disalib serta keadaan masyarakat ketika itu yang bersedih kerana pengkhianatan itu. Di bahagian paling atas, patung Jesus yang disalib diukir dalam keadaan bogel dan menimbulkan isu pada zaman itu kerana ianya ialah sesuatu yang tidak sopan. Jawab Gaudi, ianya adalah untuk menunjukkan betapa hinanya manusia zaman itu kerana sanggup membiarkan Jesus diperlakukan sebegitu rupa, sekaligus menjadi suatu peringatan kepada penganut Kristian keseluruhannya.

DSCF0050

Bawah ini ialah interior gereja ini serta Walden 7 – apartmen unik yang kami lawati pada sebelah petang yang direka oleh si genius Ricardo Bofill bersama-sama pejabat firmanya yang dibangunkan menggunakan bangunan bekas kilang!

#10000PENCILS

Pagi Selasa kumpulanku dibenarkan membuat aktiviti sendiri kerana aktiviti yang dijadualkan sekolah ialah sebelah petang. Maka aku dan dua kawanku melawat (baca: melihat dari luar) bangunan-bangunan lain yang dibina Gaudi seperti Casa Milà dan Casa Batlló. Tidak lupa Casa Amatller, rekaan Josep Puig i Cadafalch yang dibina bersebelahan Casa Batlló. Kesemua ini perlukan bayaran untuk dimasuki.

DSCF0237
Casa Batllo – How surreal

Petang, kami berjalan kaki ke Centre de Cultura Contemporània de Barcelona untuk projek 10000 pensel. Keseluruhan 90 lebih pelajar seni bina Welsh School of Architecture berganding bahu menyiapkan sebuah struktur yang dibina menggunakan 10000 batang pensel dan pengikat getah. 3 jam menghadap pensel, berpinar juga mata. Ini hasilnya:

Dan di bawah ini pautan temubual oleh TV tempatan serta keratan akhbar tentang kami yang diberikan kepada kami melalui e-mel.

VIMEO TIME-LAPSE

 

Link to the 84sec time-lapse movie on Vimeo:

https://vimeo.com/152606770

 

TELEVISION

  1. TVE – Televisión Española (Catalan News – L’informatiu)

Find here the link (starting at 23’15”)

http://www.rtve.es/alacarta/videos/linformatiu/informatiu-migdia-19dic/3449065/

 

  1. BTV – Barcelona Televisió

Find here the link

http://www.btv.cat/btvnoticies/2016/01/19/ccb-estudiants-arquitectes-cardiff-creen-una-construccio-10-000-llapis/

 

The television links are predominantly in Catalan. The first link is from TVE, which is like the Spanish version of the BBC. The second link has important sections in English, in which students from WSA are interviewed by a journalist.

 

PRINTED PRESS

 

I attach here pdf versions of the newspaper in which we appeared (El Punt / Avui), for the front cover and for the page in which they cover 10,000 pencils. You will find the link here:

 

http://www.elpuntavui.cat/cultura/article/19-cultura/934173-10000-llapis-per-a-una-nova-arquitectura.html

Hari disudahkan dengan acara majlis pembukaan dan minum-minum wine.

ATURAN BERATUS TAHUN

Hari seterusnya, kami diiringi arkitek tempatan yang membantu kami memahami struktur bandar Barcelona. Menariknya, pemerintah Roman ketika Zaman Pertengahan telah menyusun bandar itu mengikut bentuk ‘+’ mengikut arah utara, selatan, timur dan barat. Kemudian pemerintah pada kurun ke-19 menyambung usaha itu dan akhirnya terbentuklah Barcelona seperti yang dapat kita lihat hari ini.

Dalam bandar lama Barcelona, susunannya selalunya memberi kejutan. Walaupun laluan kelihatan sempit, tapi apa yang boleh kau lihat apabila memasuki mana-mana laluan kecil ialah sebuah ruang yang luas sebagai ‘courtyard‘ sebelum memasuki sesetengah kedai yang sebenarnya ialah istana lama.

Dalam salah sebuah ruang yang luas itu, ada sebuah air pancut yang memberikan ketenangan, menyelaraskan suhu dan pengudaraan yang baik kepada ruang itu.

“This is taken from the design of Alhambra in Granada which is built by Muslims which gives great ventilation and regulates the temperature of the surrounding,”

Oh ya.

“You see, Muslims back then was very good,”

Terasa mahu menggaru-garu tengkuk yang tidak gatal.

“Not like Muslims today.”

Wha- Senyum.

Kenapa kau pandang aku, Mak Cik!

Betullah tu. Mungkin aku patut ambil mesejnya sebagai – “Kau lah yang kena bangunkan agama kau balik, bruh. Hebat pa Sepanyol zaman dulu.”

DSCF0326
Air pancut tu

HARGA SEBUAH PELANCONGAN

Hari seterusnya ialah lawatan ke German Pavilion rekaan Mies Van Der Rohe yang dibina kembali menurut rekaan asal. Entah bagaimana perasaan aku bercampur baur apabila memasuki bangunan yang ‘clean and crisp’ ini, dan aku mula mengagumi beliau dalam diam.

DSCF0586
Feels like crying

Berikutnya ialah Caixa Forum, Communication Tower dan Olympic Stadium. Communication Tower ini dibina dengan motif obor yang menjadi mercu tanda Sukan Olimpik, dan Stadium Olimpik di bawah ini, kesian – hambar betul sekarang. Semua berfokus di Camp Nou. Bangunan-bangunan ini dibina bersempena Olimpik 1992 yang menyaksikan Barcelona sebagai tuan rumah – yang akhirnya mengubah lanskap pesisir pantai Barcelona daripada kawasan perindustrian menjadi kawasan yang ‘hidup’ oleh manusia.

Parc Güell ialah destinasi terakhir kami pada hari lawatan rasmi yang terakhir. Taman ini direkabentuk oleh siapa lagi kalau bukan kebanggaan rakyat Barcelona, Antoni Gaudi. Seperti biasa, rekabentuknya amat ‘surreal’ menurut pendapatku sendiri.

“Macam kat alam lain.” Aku pernah keutarakan perkara ini waktu kami melawat Casa Batlló.

“Dia sorang je boleh buat bangunan macam kat alam lain. Orang lain boleh imagine je, tapi tak buat-buat.”

Hm.

Sewaktu perhimpunan terakhir kami, Carles, tutor kami merangkap orang tempatan Barcelona bercerita tentang rumahnya di belakang taman.

“I grew here. My parents’ house is over there and my primary school is across the park. Everyday I would go back and forth from home to school through this park. Basically it’s my playground.”

Hebat betul playground kau.

“It used to be free. But the government decided to make it a tourism spot and started to charge the people who wanted to go in. Well that’s the cost we local people have to pay for the sake of tourism.”

CARDIFF AKU DATANG

Setiap hari aku dan dua rakanku mencari kedai yang menjual makanan halal dan setiap hari ada sahaja kedai berlainan negara yang kami kunjungi – dengan bantuan aplikasi Zabihah(bolehlah cuba muat turun selepas ini) – yang merangkumi Syria, India, Turki dan Pakistan. Aku tak tahu mengapa, tapi hati aku berbunga setiap kali diberi salam oleh tuan kedai Muslim di sini. Peramah.

Urusan solat kami di sini juga dipermudah. Achievement unlocked – dah berjaya kuasai seni solat di merata-rata.

Bercakap soal itu, sejak hari pertama aku perhatikan di Barcelona terdapat segolongan peminta sedekah yang kebanyakannya aku lihat wanita bertudung dan aku tak tahu mengapa.

Perjalanan di Barcelona kali ini meninggalkan banyak kesan dalam hati. Banyak yang aku belajar dan semoga semua pengalaman ini memberi kebaikan dalam hidup aku yang akan mendatang, insya-Allah.

Terima kasih Barcelona.

(Dan aku taubat daripada mengambil flight dari Stansted, London. Kos tiket bas ke sana dan masa 4 hingga 6 jam yang dibuang untuk perjalanan dari Cardiff – tak berbaloi.)

IMG_4884
Camp Nou – datang untuk cukupkan syarat. Ufufu~
IMG_4920
Selamat tinggal Barcelona

Alangkah Lucunya (negeri ini) – Hasil yang Ironis

230px-Alangkah_Lucunya_Negeri_Ini

Filem arahan Deddy Mizwar ini berkisahkan tentang seorang lelaki yang berusaha mencari pekerjaan setelah selesai ijazahnya dalam kursus ‘management’. Hampa, dia bertemu dengan seorang penyeluk saku bernama Komet dan mula berkenalan dengan komuniti penyeluk saku di kawasan itu dan membuat keputusan terbesar yang bakal mengubah hidupnya.

Impresi pertama dari filem ini ialah – tentang ironinya sistem yang diciptamanusia untuk mengurustadbir diri mereka sendiri.

Secara kasarnya, Deddy Mizwar tanpa segan-silu telah memaparkan realiti masyarakat Indonesia pada ketika itu dengan menggunakan latar pasar, kampung dan bangunan terbengkalai yang sudah buruk serta melibatkan komuniti Indonesia kebanyakan dalam filem ini.

Bukan cuma itu, pemilihan tajuk sahaja sudah boleh menggambarkan isi filem secara keseluruhan. Dalam filem ini, watak Muluk berhadapan dengan cabaran maha besar dalam usaha membangunkan sumber manusia dan berhadapan dengan dilema (yang sepatutnya) paling dahsyat dalam kalangan masyarakat Islam – tentang halal haramnya sesuatu rezeki.

Dengan garapan perencah humor, penonton dihidangkan satu demi satu ironis yang menyelubungi masyarakat ketika itu. Bagaimana pendidikan boleh menjadi ejen kesedaran manusia atau apakah sebaliknya apabila pendidikan itu boleh melahirkan koruptor nombor satu negara. Bagaimana manusia mengeji pencuri tetapi menutup mata terhadap keboblokan institusi kerajaan yang meratah hasil rakyat demi membuncitkan lagi isi poket, dan bagaimana ianya hanyalah satu rantaian yang akan berulang lagi dan lagi selama wujudnya masa.

Seperti suatu sumpahan.

Aku tahu, ramai antara yang membaca tulisan ini ialah daripada golongan yang berpendidikan yang berusaha mencari hasil rezeki yang halal.

Tetapi apakah semua daripada kita akan terus menjadi Haji Rahmat, Haji Makbul dan Haji Sarbini yang terus menerus mahu menyelamatkan hanya diri dan keluarga, ataukah kita akan menjadi pencetus revolusi dalam kehidupan orang lain sepertimana Muluk, Samsul dan Pipit?

8/10

 

alangkah lucunya

Kota Beg Paip serta Negeri Ais dan Api

Akhirnya cuti musim sejuk bermula setelah sebulan aku dikejar-kejar deadline final critique bagi semester kali ini. Renyah rasanya.

Malam setelah selesai final critique itu aku melihat orang-orang putih menarik beg-beg mereka menaiki bas untuk pulang ke kampung, saling tak tumpah seperti keadaan para pelajar universiti di Malaysia balik raya Aidilfitri.

Keesokan harinya, 13 Disember 2015 aku memulakan perjalanan ke Edinburgh dengan menaiki bas ke London Stansted Airport untuk mengejar kapal terbang turun di Edinburgh, Scotland.

Edinburgh memang sebuah bandar yang buat aku kagum dengan bangunan-bangunan lama yang tak lepuk dek hujan, tak lekang dek panas. Tidak sukar membayangkan kesungguhan kerajaan mereka memastikan bangunan-bangunan itu kekal terpelihara tanpa sebarang ancaman dari tangan durjana manusia, sehingga akhirnya bangunan yang berdiri beratus tahun itu kini berdiri megah sebagai ikon negeri itu.

Hari pertama aku tamatkan dengan menonton Christmas Light Show di Royal Mile dan menonton orang memainkan bagpipes di jalanan. Meski kota lama itu mengagumkan, aku lebih gembira menaiki Arthur’s Seat yang ketinggiannya cumalah 250.5 meter dari aras laut pada hari esoknya, entah mengapa. Tujuan asal untuk melihat matahari terbit terbantut kerana kabus teruk melanda, tak jauh beza daripada suasana dalam filem Macbeth yang aku tak faham itu.

 

I GOT BORED

 

Selesai di Edinburgh, kami berangkat ke Keflavik International Airport dan mengambil bas dari Keflavik ke pusat bandar Reykjavik pada 15 Disember. Dalam perjalanan, bekas salji sudahpun kelihatan di mana-mana.

Hari pertama aku dihabiskan dengan bersiar-siar sekitar bandar Reykjavik kerana kami belum ada rancangan yang konkrit tentang perjalanan kami di Iceland. Hari kedua, aku demam, hanya mereka yang keluar berjalan (sudah aku katakan, perlu ada sehari berehat di rumah setelah jadual hidup yang ganas sebelum keluar mengembara!).

Hari ketiga barulah kami mengikuti tour melalui Golden Circle, iaitu laluan yang merangkumi air terjun Facsi, Gullfoss, Geysir dan Taman Negara Þingvellir yang dibawa oleh pemandu kami, Boði, juga salah seorang pengasas syarikat pemandu pelancong itu.

Boði sentiasa cuba membuat pelanggannya tersenyum dengan kisah-kisahnya. Lelaki berusia 27 tahun ini pernah menjadi wartawan televisyen selama dua tahun namun berhenti daripada kerja-kerja journalismnya.

“I got bored, and then I stopped!”

“I want to do what I love, so I found out that I love to talk to people, especially foreign people. So I tell my brothers that I want to start up a new company and they agreed.”

Liur yang aku telan terasa seperti pasir.

Apa yang aku mahu dalam hidup ini?

Muzik Icelandic menemani kami sepanjang perjalanan termasuk lagu-lagu daripada Björk dan Sigur Ros. Boði tampak begitu bangga dan positif dengan negara, budaya, dan segala-galanya tentang mereka.

 

E-MAIL DAN PERTOLONGAN

 

Hari kelima kami mengikuti tour ke selatan Iceland yang diketuai oleh Pakcik Albert. Pagi itu kami bermula dengan air terjun Seljalandsfoss dan minum air dari anak sungai yang terbentuk berhampiran kawasan itu, dan ianya lebih sedap dari mana-mana air mineral dalam botol komersial.

Perjalanan diteruskan dan kami melintasi kawasan pergunungan Eyjafjallajökull yang pernah meletus pada tahun 2010 dan mengakibatkan Eropah menjadi gelap selama beberapa hari berikutan letusan itu. Seperti kata Boði dua hari sebelumnya, semua orang membenci Iceland ketika itu. Tetapi itu hanya aturan alam dan bukan salah mereka.

Seorang lelaki berjaya mengambil gambar letusan yang mengagumkan sekaligus mengerikan itu ketika kejadian itu berlaku dan menjadi terkenal kerana gambarnya. Akhirnya rumahnya menjadi tumpuan manusia dari serata dunia.

He gave up and opened Eyjafjallajökull Visitor Centre.”

Whut.

“Itulah, nak jadi terkenal lagi. Sudahnya give up.”

Vik – dengan populasi tak sampai 400 orang dengan kebanyakannya menjadi pengembala kambing dan petani, tidak mudah untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam cuaca ekstrim dan penuh ancaman.

Setelah kejadian itu, rumah seorang wanita dipenuhi debu-debu dari letusan gunung berapi itu.

“Here people who are involved with disasters don’t send e-mails requesting for help. We just go and help them.”

Akhirnya rumah wanita itu bersih – seperti tiada apa pernah berlaku di kawasan itu.

Kuasa bermasyarakat.

 

MENJENGAH PINTU AJAL

 

Perjalanan diteruskan dengan melawat pantai pasir hitam di Reynisfjara. Ombak begitu ganas, atau ‘liar’ – bak kata teman perjalananku. Apa tidaknya, itu Lautan Atlantik!

Aku sendiri ketika gatal mahu turun berdekatan dengan air, tidak semena-mena ombak tiba-tiba menghempas laju hingga sedikit daripada air laut itu terkenal but dan seluar yang aku pakai.

Menaiki bas, Pak Cik Albert menyambung ceritanya dengan kisah seorang pelancong yang mati ditarik ke dalam lautan.

Eh.

Lelaki itu meluru turun ke bawah dan secara tiba-tiba ombak ganas menghentam pantai dan menariknya ke lautan. Dua pemandu pelancong berusaha menyelamatkannya, tetapi mereka gagal dan terdampar di gua yang berhampiran. Sudahnya – trauma.

Dan aku masih hidup.

Ya Tuhan.

Tuhan sahaja yang tahu perasaan aku ketika itu. Hakikat aku mampu menulis ketika saat ini hanya satu – Tuhan masih memberi aku peluang untuk bernafas.

 

NAGA HIJAU YANG MENARI DI LANGIT

 

Siang itu ditamatkan dua perkara, pertama berjalan mendekati glasier di kawasan Sólheimajökull dan menyentuh ciptaan Tuhan yang indah itu. Ianya jernih dan suci, membuat aku terasa begitu kotor untuk mengintai syurga. Kedua menaiki tangga di tepi air terjun Skógafoss yang berjumlah 400 lebih.

Maaf, senggugut, hari ini aku lebih kuat. Aku lebih teruja untuk memerhati seni Tuhan daripada melayani kerenahmu.

Rupa-rupanya Pak Cik Albert jugalah yang membawa kami malam itu untuk memburu Aurora Borealis. Aurora – ‘Tuhan’ subuh Greek, Boreas – ‘Tuhan’ angin utara sejuk Greek. Maka cahaya utara atau lebih dikenali sebagai Northern Light itu juga dinamakan Aurora Borealis.

Ada sejarah memberitahu bahawa skrip tertua yang menyatakan tentang penampakan Aurora Borealis ialah skrip dari China apabila mereka mendeskripsikan cahaya utara itu sebagai ‘naga yang menari di langit’.

Ianya terhasil dari tindakbalas gas pada permukaan matahari dan apabila cahaya itu menembusi atmosfera, ianya akan menghasilkan fenomena tersebut. Bermula dengan warna putih atau kuning jika jarak cahaya itu paling jauh dengan bumi, hijau jika jaraknya sederhana dan merah jika jaraknya paling dekat.

Dan kali ini, aku tidak mampu mendeskripsikan apa yang aku perhatikan dengan jelas – maka aku tinggalkan di bawah gambar-gambar yang bernilai lebih dari seribu perkataan.

 

HOMESICK

 

Seperti biasa, berlama-lama di jalanan buat aku rindukan Cardiff. Tepat 22 Disember 2015 kami berangkat pulang ke Bristol International Airport sebelum menaiki tren pulang ke Cathays.

Kali ini, jujurnya aku menghabiskan lebih £500 untuk trip kali ini – dan ini membuatkan aku sedikit kesal meski aku gembira dengan perjalanan ini.

Mungkin selepas ini boleh aku berusaha mencari duit sendiri daripada menggunakan duit rakyat demi apa yang aku mahukan.

Dan ini membawa aku kembali ke persoalan asal –

Apa yang aku mahukan?

 

Sang Pencerah – Menyelak Tabir Kebodohan

sang-pencerah

 

SANG PENCERAH (2010)

Dah lama aku geram dengan Indonesia ni. Tak sangka seawal aku Tingkatan Tiga tanpa aku menyedarinya, bioskop mereka sudahpun menayangkan filem bertemakan sejarah perjuangan nasionalis mereka. Dan menonton filem ini pada malam Christmas Eve setelah ber’yahanana’ pada sambutan Maulid Muhammad, iaitu guru agung yang mencerahkan alam semesta ini, adalah sesuatu pilihan yang tepat.

 

Lir-ilir, lir-ilir
Tandure wis sumilir
Tak ijo royo-royo tak senggo temanten
anyar

Bangunlah, bangunlah
Tanaman sudah bersemi
Demikian menghijau bagaikan pengantin
baru

 

Filem ini berkisar tentang kehidupan Kiyai Ahmad Dahlan sejak beliau kecil sehingga akhirnya berjaya menubuhkan organisasi Muhammadiyah, yang telah berjaya membawa revolusi pemikiran dalam kalangan umat Islam di Indonesia secara khususnya. Turut digarapkan dalam filem ini ialah cabaran dan penentangan hebat yang dihadapinya dalam memperjuangkan kebenaran tentang agama yang hakikatnya mencerahkan.

Secara zahirnya sinematografi filem ini agak sederhana, namun ianya ditampung oleh penggunaan skor muzik yang berjaya mengharmonikan keadaan dan membuatkan penonton berasa begitu menghargai kehalusan nilai seni dari Indonesia.

Bahagian seperempat awal mengisahkan proses Ahmad Darwis(nama asal Kiyai Ahmad Dahlan) dari kanak-kanak, menjadi remaja hingga dewasa dengan ‘hint’ bahawa dia akan menjadi seorang susuk yang kritikal dalam menganalisis sesuatu keadaan. Terutamanya ketika sepulangnya dari Mekah, kesalahan kiblat menjadi titik utama kepada perubahan pemikiran masyarakat di Kauman, Jogjakarta ketika itu.

 

Cah angon-cah angon penekno blimbing
kuwi
Lunyu-lunyu yo penekno kanggo mbasuh
dodotiro

Anak gembala, anak gembala panjatlah
(pohon) belimbing itu
Biar licin dan susah tetaplah kau panjat
untuk membasuh pakaianmu

 

Bukan mudah untuk mengubah pemikiran yang telah termaktub dalam akal fikiran golongan-golongan senior yang telah lama memegang tampuk kepimpinan di kampung itu, lagi-lagi apabila ianya berlandaskan isu agama yang telah berakar umbi dalam hati sanubari umat Islam ketika itu, mesti agama itu sendiri telah diperjudikan untuk menegakkan ego masing-masing.

Ini dapat diperhatikan menerusi sikap orang Kauman dan Kiyai-kiyai senior di kampung itu yang berterusan menekan Kiyai Dahlan sehingga sanggup mengkafirkan beliau kerana menyangka akidah Kiyai Dahlan sudah rosak akidah akibat berurusan dengan orang Belanda yang menjajah mereka ketika itu.

 

Dodotiro-dodotiro kumitir bedhah ing
pinggir
Dondomono jlumatono kanggo sebo
mengko sore

Pakaianmu, pakaianmu terkoyak-koyak di
bagian samping
Jahitlah, benahilah untuk menghadap nanti
sore

 

Aneh, aku rasa situasi ini pernah terjadi lebih 1400 tahun yang lepas tetapi diselamatkan oleh manusia agung bernama Muhammad yang berjaya membawa pembaharuan dan mencelikkan mata-mata yang pernah buta hingga akhirnya membawa kepada revolusi ketamadunan Islam!

Tetapi aku rasa situasi ini berulang lagi, malah di tanah air kita sendiri. Sesuatu pembaharuan, meskipun ianya baik amat sukar diterima dalam masyarakat. Aku tidak bercakap soal politik, hanya soal akhlak, budi dan keperimanusiaan, iaitu elemen-elemen yang menjadikan kita seorang manusia.

 

Mumpung padhang rembulane,
mumpung jembar kalangane
Yo surako… surak iyo…

Mumpung bulan bersinar terang,mumpung
banyak waktu luang
Ayo bersoraklah dengan sorakan iya

 

Cukuplah kita sekadar turun di jalanan dan memerhati. Kadang-kala kita bertekak sana-sini(terutamanya di media sosial), menegakkan ego masing-masing tetapi di jalanan masih ramai yang memandang jijik orang-orang yang tidak berumah ataupun orang yang sekadar berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Iya, tidak dinafikan ada antara anak-anak muda yang turun menggembleng tenaga untuk membantu golongan-golongan yang terhimpit dengan nasib dan pemerintahan yang menyepit. Tetapi dengan beratus-ribu anak muda di negara ini, kita mampu melakukan lebih dari itu! Bukannya hanya tahu mengutuk Najib dan Rosmah di alam maya, mahupun mengata-ngata rakan-rakan yang ‘perasan bagus’ hanya kerana mereka berusaha memperbaiki diri mereka dengan belajar bersungguh-sungguh dan membantu golongan yang lebih memerlukan. Ini sudah lapuk!

Filem ini wajar ditonton oleh semua anak muda, bagaimana anak-anak muda seharusnya menjadi tunjang untuk menggegarkan tampuk kepimpinan dan pemikiran yang sudah lapuk. Kita ini orang bertamadun, maka semoga pemikiran kita dapat membuka jalan ke arah pemikiran yang lebih kritis dan dinamis, seiring akidah, akhlak dan akhirnya membawa dunia ke arah yang lebih baik.

Rating: 7/10
Nota: Lirik yang disebutkan ialah Ilir-ilir, iaitu tembang yang dicipta dan digunakan oleh Sunan Kalijaga, salah seorang daripada Wali Songo untuk menyebarkan Islam di Pulau Jawa.

 

 

2 Hari 2 Bandar

MENDADAK

Keputusan untuk ke Birmingham ditentukan dengan sangat mendadak. Entah apa yang aku mahu. Pengalaman atau escapism, aku tak pasti.

Aku disambut dengan stesen kereta api yang maha besar di Birmingham New Street yang 10 kali ganda saiznya daripada Cardiff Central.

Birmingham bandar yang sibuk. Bandar kedua terbesar setelah London ini penuh dengan kehidupan, seperti lagaknya Kuala Lumpur. Hanya di tempat yang suhunya mampu mencecah negatif ini, lebih banyak manusia berbudi bahasa – tipikal rakyat Britain.

Satu-satunya tempat yang aku suka di bandar ini ialah Birmingham Canal. Mungkin kerana wujudnya laluan air yang pada aku memberi nilai tambah yang sangat ampuh, atau mungkin kerana aku membesar dengan sungai dan laut di kampung halamanku. Mungkin juga kerana aku tidak suka dengan bandar-bandar besar yang sibuk seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu. Sesak dan menyesakkan, tetapi itulah emas, itulah lumpur.

Sepanjang perjalanan mataku disapa dengan pemandangan bangunan-bangunan yang kemerahan.

“Lihatlah orang British begitu bangga dengan teknologi red bricks mereka.”

“Kau mahu bandingkan dengan Malaysia? Tak usah.”

“Kenapa?”

“Kita dijajah 400 tahun. Ketika Britain begitu maju kita masih lagi dikaut keuntungan oleh ‘penasihat-penasihat’ British yang mendakwa mereka tidak pernah menjajah kita.”

Christmas Market sudah mula dibuka bermula tengahari – serupa dengan Cardiff, walhal masih ada sebulan sebelum Hari Natal tiba. Tidak jauh beza dengan orang Islam di Malaysia yang sudah mula membunyikan mercun meski bulan Ramadhan belumpun bermula. Gerai-gerai menjual pelbagai makanan (yang bukan aku boleh makan pun sebab tak sembelih), minyak wangi, perhiasan pokok Krismas dan sebagainya, usaha para peniaga dalam mencari sesuap kentang (kerana nasi bukan makanan ruji mereka).

Manusia menyesak, ditambah lagi dengan kehadiran ice rink dan Ferris Wheel di Birmingham Centenary Square. Petangnya aku bergegas ke Birmingham Coach Station untuk mengejar bas ke Sheffield.

KAMERA TERPAKAI

Suhu di Sheffield tidak sedahsyat Birmingham dan aku mula mampu mengadaptasi diri dalam cuaca ganas ini. Malam itu aku dibawa masuk ke Arts Tower milik University of Sheffield, tempat pelajar seni bina belajar.

Aku terkagum, studio korang cantik lah gila. Bangunan aku tiga tingkat, dengan hanya satu tingkat diperuntukkan pada pelajar seni bina. Sempit dan aku rasa orang claustrophobic boleh mati bila melangkah masuk studio kami.

Malam itu dihabiskan dengan bersembang dengan rakan-rakan dari Kolej MARA Banting. Lewat malam, kawanku meneroka kamera terpakai yang baru saja aku beli.

“Aku rasa bersalah bila fikir gunakan duit rakyat untuk beli benda-benda macam ni. Aku dah ada DSLR, tapi.”

“Kita pelajar seni bina, ini bukan bermewah tapi keperluan.”

“Keperluan ke?”

Diam.

Ya, keperluan. Seni bina ialah sebuah kursus yang menuntut belanja yang tinggi. Aku masih tidak pasti adakah itu alasan untuk membenarkan tindakan aku membeli sebuah kamera terpakai atau tidak.

Masing-masing dari kami mengerti tanggungjawab yang kami pikul di pundak. Setengah juta duit rakyat dilaburkan pada setiap seorang daripada kami yang diharap bakal menggalas bebanan memimpin hala tuju negara pada masa hadapan.

Membelanjakan wang bukan dari titik peluh sendiri memang mudah, seperti mudahnya aku meminta hadiah hasil pencapaianku dalam peperiksaan sewaktu sekolah rendah. Bezanya kini aku sudah mula pandai berfikir membezakan baik dan buruknya sesuatu perkara, dan aku pasti hampir semua daripada kita sudah tahu menimbang tara kesudahan tindakan yang kita ambil pada hari ini.

BIDADARI BESI

Aku tidak ke berjalan banyak di Sheffield, kecuali ke sekitar University of Sheffield, Weston Park untuk memberi makan burung-burung, itik, dan angsa yang rakus, dan juga Sheffield City Centre. Tidak banyak yang boleh aku ceritakan.

Cuma – satu halnya yang aku belajar, kita tidak berseorangan dalam hidup.

Biar dunia terbalik, biar aku gila, sentiasa akan ada manusia di sisi.

Yang mengerti dan memahami bebanan yang sama atau serupa, yang sanggup mendengar apa jua rintihan hati. Berkongsi kisah gembira dan duka, menolak tepi segala prejudis dan prasangka.

Tuhan menghantar bidadari-bidadari besi untukku dan menghantarku untuk mereka.

“Khai, apa-apa Facetime sahaja. Kita ada.”
“OK.”

Kau tak tahu hati aku bergenang air mata.

Kerana ini aku bencikan pertemuan. Kerana ianya membibitkan perpisahan.

Jumpa lagi teman.

Selalu disisiku.

Balik, kereta api yang sepatutnya aku naiki tergendala setengah jam mengakibatkan aku terlepas kereta api seterusnya yang sepatutnya aku naiki semasa pertukaran kereta api. Hasilnya aku terpaksa menukar tiga kali kereta api ke Bristol dan kembali ke Cardiff Central.

Nasib.

GRASS IS ALWAYS GREENER ON THE OTHER SIDE

Seperti aku sedar bahawa aku cintakan Malaysia lebih daripada UK, begitu juga aku mula menyayangi Cardiff yang berangin sepanjang masa dan dipenuhi dengan burung-burung camar yang bising serta gemar berak merata-rata berbanding bandar-bandar lain.

Kerana ada perkara yang boleh disyukuri.

Sentiasa.